Bersyukur! Bersyukur! Bersyukur!
Ya. Ya. Ya. Aku perlu bersyukur. Tuhan bagi aku peluang untuk belajar di tempat orang. Tuhan bagi aku kesempatan untuk menghirup udara sejuk dingin bila musim sejuk tiba. Tuhan bagi aku kesempatan lihat bunga-bunga kembang mekar dunia jadi warna-warni, Tuhan bagi aku tonton luruh daun kuning coklat dari birai tingkap dan alam jadi suram muram, Tuhan bagi aku macam-macam pengalaman baru berada di negara bukan tanah airku.
Tapi hati manusia jahil aku sering saja terdetik, kenapa? kenapa? kenapa? Kenapa aku pilih untuk hidup jauh dari keluarga dari kawan-kawan baik, dari orang yang aku sayang. Macam-macam Tuhan bagi, tapi dengan semua tu, Dia tarik nikmat hidup di dalam bulatan orang-orang kesayangan kau.
Satu lencana bahagia lucut dari hidup aku.
Bila aku tinggal mak bapak aku lama-lama, sampai satu saat, aku rasa rindu, rindu yang tersangat-sangat, dan dalam masa yang sama, aku helpless, aku tak boleh nak buat apa-apa. Aku cuma boleh telefon dan dengar suara mereka, dan menangis dalam hati. Kadang-kadang aku nangis juga tapi aku lawan air mata itu dengan gelak-gelak buat lawak bangang dengan mak aku, kasi dia tak terkesan dengan sedih aku dan tak risau tentang aku kat sini. Sebab dia pun helpless, tak boleh nak tolong anak perempuan dia jauh. Dia pun cuma boleh tanggung dengan kata-kata dan doa. Buat lawak bangang kasi anak dara dia gelak. Kasi kata-kata bagi naik semangat. Nasihat supaya sentiasa bergantung pada Illahi.
Tapi aku ada sense of longing terhadap mereka. Satu perasaan bila kau stress, serabut, sedih dengan apa yang kehidupan hadapkan pada kau, kau nak tengok muka diorang, cium bau diorang takpun bagi ada sebelah je tak banyak. Bukan nak mintak tolong, tambah susah mereka ke apa, tapi nak ada kehadiran mereka, kasi tahu yang sejauh mana kau jatuh dalam kehidupan kau, ada lagi dua orang manusia yang takkan pernah ubah persepsi mereka terhadap kau, yang takkan pernah menghakimi kau, yang akan sentiasa ada pada jatuh bangun kau.
Okay, saat ni air mata aku jatuh jurai-jurai macam air terjun tak tipu.
Ya Allah, ubatkan rindu terhadap orang tuaku ini.
Entah kenapa, aku jumpa dengan orang yang aku nak kisah waktu aku tengah buat prep untuk overseas degree. Dan entah apa takdir yang Tuhan tentukan untuk aku, orang tu tak belajar sama dengan aku, dan takkan pergi ke tempat yang aku akan pergi waktu tu.
Aku tak pandai nak beria-ia jiwang kasi orang cair dengan aku. Dan kalau ada orang kenal aku orang tau aku ada ego tembok cina, cakap la apa kau nak, aku jugak yang betul. Mulut aku jangan cakap la, pedas pahit payau. Kalau lelaki-lelaki hati lembut, yang pada persepi diorang perempuan perlu sopan santun, ayu, gitu gini gitu gini, silalah tak berkenan pada aku. Dengan itu 80% populasi lelaki dekat dunia ni biasanya hanya boleh anggap aku kawan bukan girlfriend material.
Aku jugak bukan kategori perempuan yang setahun sekali tukar boyfriend. Tak suka buang, cari lain. Tak suka lagi buang lagi. Siapalah aku, sangat-sangat tak sempurna, tak lawa pulak, tak pandai, takde talent pandai menari, pandai tangkap gambar ke, pandai itu ini, melukis mungkin, tapi dah 25 tahun tak praktis.
Tapi ada lah satu umat Muhammad yang sudi melayan karenah aku, dengarkan bising mulut aku, layan emosi Hooke's Law aku, marah merajuk dengan aku tapi masih cari aku dua jam kemudian, kasi aku korek hidung dalam kereta dia, beli air milo umpan bila lambat, layan kan sama-sama nafsu makan anak jin aku, layan aku itu ini itu ini.
Lepas tu Tuhan jauhkan aku dari dia.
Aku tahu, setiap benda tu ada hikmah disebalik, dan siapa lah aku untuk persoalkan semua tindakan Yang Maha Esa tu.
Belajar redha.
Sila.
Redha.
Bila kau jauh dari kawan-kawan baik kau, sepupu-sepapat kau yang perangai boleh tahan sama dengan kau, kau hilang tempat kau boleh main lari-lari bila kau tak tahan nak baring atas katil sendiri sekalipun. Bila kau senak dengan pemandangan dari bilik kau, bila kau bingit dengan orang sekeliling kau, cikgu kau, bos kau, kau lari. Mungkin bukan kau, tapi aku, ya.
Aku minta pada Ya Rabb untuk duduk negara sejuk, untuk tengok mat salleh mata biru rambut blond, untuk cari ilmu negara orang, Dia bagi.
Tapi Dia duga aku dengan rindu.




